CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Thursday, March 13, 2008

Wawasan 2020


PERSPEKTIF WAWASAN 2020
Latarbelakang
Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28
Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri telah membentangkan
satu kertas kerja bertajuk "Malaysia - Melangkah ke Hadapan"
yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai
matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun
2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".
Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi
merupakan tindakbalas kepada perkembangan ekonomi, sosial
dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan
antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara.
Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan
dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil
dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan
ditempuh oleh negara.
Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan
sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun
2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang
ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek
kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan
dan kebudayaan.
Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka
akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu
berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati
kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang
demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing,
dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.
Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara
bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan
caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak
negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan
ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur
dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah
ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna
dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi
oleh negara-negara lain.
Cabaran
Objektif
Objektif di atas hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia
dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan/rintangan
yang dianggap sebagai cabaran. Di bawah ini diperturunkan
sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu: (i) Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai
matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti
menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat
wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama
sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa
Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi
kepada negara;
(ii) Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan
maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga
dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi
pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat
dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar
semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan
dihormati oleh rakyat negara lain;
(iii) Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang
matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang
matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang
boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;
(iv) Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan
beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai
agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika
paling tinggi;
(v) Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur,
rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat,kebudayaan
dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang
sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;
(vi) Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif,
mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke
depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi
tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan
teknologi masa depan;
(vii) Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi,
iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat
lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan
tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di
sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;
(viii)Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi.
Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan
kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud
perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam
perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak
akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan
fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi
berdasarkan kaum; dan
(ix) Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi
bersaing, dinamik, giat dan kental.Perspektif Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan
beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan
Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:- (i) Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia.
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam
kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang
rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum,
keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara
bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan
kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran
terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk
kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi
konsep ini istilah seperti perpaduan negara,
kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi
perlulah difahami dan diamalkan.
(ii) Negara Perindustrian
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan
kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian
adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020
berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses
transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka
lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di
pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan
sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan
bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan
perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.
Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong
oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang
tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau
mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta,
menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara
perindustrian pertumbuhan ekonomi yangamat pesat
amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan
sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara
langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing,
kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan
menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan
sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi
jentera Pertumbuhan.
(iii) Keadilan Ekonomi dan Sosial
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang
ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal
sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi
penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah
kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud
keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-
galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.
Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan
semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta
perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan,
keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara
wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar
bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya
telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir
terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum
golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah
menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki
ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap
keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke
dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan
dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan
Malaysia Keenam.
(iv) Moral dan Etika
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang
yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-
Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang
kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan
kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah
penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai
moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan
dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak
membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni
(seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam)
akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak
menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.
(v) Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan.
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem
sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat
bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat
dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini
membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah
negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan
masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana
keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang
mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan
pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang
merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk
masyarakat penyayang dan budaya menyayangi)
sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini
hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan
rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam
memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu
bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna.
Penutup
Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan
ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan
pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara
perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih
daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara
berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti
pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika,
kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan
lain-lain.
Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi
ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action
bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu
bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar
maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut
memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah
kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan,
perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan
teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih
dinamik.
Sumber : Pejabat Perdana Menteri

0 comments: